KEPENTINGAN KEMAHIRAN INSANIAH KEPADA SETIAUSAHA ALAF 21

 


Kem
ahiran insaniah (soft skills) merupakan kemahiran yang sangat penting dan kritikal dalam abad ke- 21 ini. Kepentingan kemahiran ini telah banyak diperkatakan dan diberi penekanan oleh pihak majikan terutamanya sektor korporat kerana ianya menjamin kesinambungan kelestarian atau kebolehpasaran sesebuah organisasi. Pada pandangan majikan, penguasaan kognitif sahaja belum mencukupi untuk menghadapi cabaran persaingan yang hebat pada masa kini. Oleh itu kemahiran insaniah diperlukan bagi melengkapi kemahiran kognitif bagi membentuk individu yang holistik dan mampu berdaya saing dalam era kemodenan ini. Kemahiran insaniah merupakan kemahiran yang melibatkan kebolehan menyelesaikan masalah, berfikiran kritikal, berkomunikasi dan menyatakan ideaidea dengan jelas (komunikasi lisan dan tulisan), bekerja dalam kumpulan, memimpin dan juga kemahiran sosial (Rusmini, 2011). Trilling dan Fadel (2009,) menyatakan kemahiran insaniah terdiri daripada tiga set kemahiran iaitu kemahiran pembelajaran dan inovasi, kemahiran teknologi dan maklumat dan juga kemahiran kerjaya dan kehidupan.Kemahiran insaniah juga disebut sebagai kemahiran abad ke 21, kemahiran kelestarian atau kemahiran pekerjaan (Wagner, 2008; Trilling and Fadel, 2009; Gerver 2010; dan Wurdinger dan Enloe, 2011).

 

            Kemahiran insaniah memiliki pelbagai nama seperti soft skills, essential skills, human skills, employability skills serta non-technical skills. Terdapat pelbagai makna yang menjelaskan tentang kemahiran insaniah. Antaranya ialah Mahyudin (2011) menyatakan bahawa definisi sedia ada berkaitan dengan kemahiran insaniah lebih memberi tumpuan terhadap aspek tingkah laku, kemahiran komunikasi, sikap, keupayaan menyelesaikan suatu permasalahan, cara memeperolehi keputusan dan pengurusan organisasi. Berikut merupakan elemen – elemen kemahiran insaniah;

 

            Elemen kemahiran insaniah yang pertama ialah kemahiran berkomunikasi. Kemahiran berkomunikasi ialah kebolehan dalam menyampaikan idea dengan terang, berkesan dengan penuh keyakinan sama ada secara lisan dan bertulis. Selain itu, kemahiran berkomunikasi turut merangkumi kebolehan mengamalkan kemahiran mendengar yang aktif dan memberikan maklum balas. Kemahiran ini penting kepada setiausaha abad kini kerana ianya bukan sekadar membantu mewujudkan persekitaran yang terbuka dan mesra, tetapi juga memastikan kerja yang dihasilkan adalah bersifat fokus dan jelas. Setiausaha pejabat yang tahu berkomunikasi dengan baik akan menjadi lebih cekap, lebih teratur dan lebih selaras dengan idea serta perspektifnya. Memiliki kemahiran komunikasi tidak bermakna memiliki bakat bertutur dengan baik; ini melampaui komunikasi lisan. Kebolehan untuk menyampaikan idea yang rumit dengan mudah dan menyampaikan mesej penting dengan jelas dan ringkas kerana kerja usaha sama yang baik tidak mungkin dicapai tanpa komunikasi yang berkesan. Ini terutamanya penting kerana persekitaran bekerja digital menjadi semakin tersebar luas.

 

            Elemen kemahiran insaniah yang kedua pula ialah pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah. Kemahiran insaniah ini merangkumi kebolehan mengenal pasti dan menganalisis masalah dalam situasi yang kompleks dan kabur serta membuat penilaian yang berjustifikasi. Ia juga termasuklah kebolehan mengembangkan dan membaiki kemahiran berfikir seperti menjelaskan, menganalisis dan menilai perbincangan. Kebolehan untuk mencari idea dan mencari penyelesaian alternatif turut merupakan perkara yang terdapat dalam kemahiran menyelesaikan masalah. Pemikiran kritis seperti ini amatlah diperlukan dalam diri seorang setiausaha yang baik kerana kebolehan untuk melihat sesuatu isu dengan mendalam dan menganalisis serta menilai nuansa isu dengan pendekatan yang logik dan sistematik akan memastikan setiausaha itu sentiasa mendapat penyelesaian paling kukuh. Dengan mengetahui anda bersedia dan dapat menyusun strategi penyelesaian yang produktif dan rasional bagi masalah yang tidak dijangka, maka ini akan meningkatkan dan mengilhamkan keyakinan di tempat kerja dan membantu anda sebagai setiausaha menangani halangan tanpa berasa tertekan atau terbeban. Pemikiran kritis bermakna membongkar setiap sudut isu sepenuhnya dan mengelakkan membuat keputusan yang berdasarkan naluri atau gerak hati.

 

            Elemen kemahiran insaniah yang seterusnya ialah kemahiran kerja berpasukan. Di dalam kemahiran kerja berpasukan, seseorang itu perlulah mempunyai kebolehan untuk membina hubungan yang baik, berinteraksi dengan orang lain dan bekerja secara efektif bersama-sama ahli kumpulan yang lain untuk mencapai objektif yang sama. Selain itu, kebolehan untuk memahami dan mengambil peranan bersilih ganti antara ketua kumpulan dan ahli kumpulan serta kebolehan untuk mengenal dan menghormati kelakuan dan kepercayaan orang lain juga salah satu perkara yang dinilai dalam kemahiran kerja berpasukan. Kemahiran ini sangatlah penting kepada setiausaha zaman moden ini kerana bekerja dalam suasana berkumpulan memerlukan kesefahaman yang cemerlang demi mencapai matlamat kolektif pasukan atau objektif yang ditetapkan oleh syarikat. Ini bermakna setiausaha mestilah mengetepikan rasa pentingkan diri dan benar-benar mengambil berat akan orang yang bekerjasama dengan anda, mengambil apa-apa langkah yang perlu bagi memastikan pasukan beroperasi dengan lancar dan bersatu serta meletakkan kepentingan pasukan melebihi kepentingan diri. Rasa saling hormat-menghormati antara anda dan rakan sekerja adalah sangat penting. Ini bermakna menghormati pandangan dan pendapat yang berbeza, menghormati setiap tanggungjawab orang dan menghormati kerja yang anda lakukan. Tempat kerja tanpa rasa hormat tidak boleh menghasilkan kerja yang bereputasi baik.

 

            Pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat ialah antara elemen kemahiran insaniah yang sangat penting kepada setiausaha zaman teknologi ini. Antara perkara yang dititikberatkan di dalam kemahiran ini ialah kebolehan untuk mencari dan menguruskan maklumat yang relevan daripada pelbagai sumber dan kebolehan untuk menerima idea baru serta berkeupayaan untuk pembelajaran yang autonomi. Seorang setiausaha yang bijak mestilah sentiasa mengembangkan minda ingin tahu dan dahagakan ilmu. Hal ini dikatakan demikian kerana, setiausaha yang pintar dalam menguruskan maklumat mempunyai satu nilai tambah terutamanya dalam era persaingan ini. Setiausaha yang mampu mencari dan menguruskan maklumat dapat bertahan dalam cabaran baharu yang semakin lama semakin sukar. Sama ada menyesuaikan diri dengan teknologi baharu, sistem dan struktur baharu atau cuma projek baharu, sifat serba boleh adalah penting untuk kejayaan mana-mana syarikat pun. Kreativiti dan sifat ingin tahu juga adalah sama penting dalam persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah-ubah; memiliki kebolehan untuk berfikir di luar kotak dan menyusun strategi konsep dan idea inovatif membuatkan seseorang setiausaha itu terlihat sebagai ahli yang dipercayai dan istimewa dalam mana-mana pasukan. Sesetengah masalah memerlukan penyelesaian baharu dan kreativiti ialah pendorong inovasi dan kemajuan. Syarikat yang mempunyai pemikir kreatif ialah syarikat yang dilengkapi dengan baik untuk pertumbuhan dan pembangunan.

 

            Elemen kemahiran insaniah yang terakhir ialah moral dan etika profesional. Ianya merupakan kebolehan untuk memahami kesan ekonomi, alam sekitar dan sosiobudaya dalam amalan profesional. Ia juga ialah kebolehan untuk mengamalkan sikap beretika disamping mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat. Kemahiran sebegini penting kepada para setiausaha kerana jika ingin memberikan hasil kerja yang terbaik, maka, salah satu cara untuk berbuat demikian adalah dengan memahami dan menggalakkan mereka yang bekerja bersama kita agar bersama-sama mengamalkan nilai moral murni seperti jujur, amanah dan bertanggungjawab semasa bekerja. Manakala, etika profesional pula adalah sangat serupa dengan integriti. Seseorang yang mempunyai etika profesional yang baik menikmati kerja mereka dan mereka memahami serta menerima tanggungjawab mereka. Mereka berdisiplin, fokus dan sentiasa profesional. Etika profesional dan moral yang kuat bermakna memahami kerja keras membuahkan hasil dan berusaha sedaya-upaya dalam segala aspek pekerjaan. Ciri etika dan nilai profesional yang perlu ada pada seorang setiausaha ialah seseorang yang bekerja dengan cemerlang akan melaksanakan tugasnya dengan bersungguh-sungguh dan tidak akan mengambil sikap sambil lewa sahaja. Prestasi tugasnya akan sentiasa tinggi. Jika setiausaha menghadapi masalah semasa melaksanakannya, setiausaha perlu terus berusaha mencari jalan mengatasi atau menyelesaikan masalah itu dan tidak mudah putus asa.

 

            Cadangan untuk menambahbaikkan lagi kemahiran insaniah ialah membantu pelajar dan mahasiswa untuk membina kemahiran yang diperlukan dengan menggalakkan mereka untuk menyertai aktiviti-aktiviti di mana bekerjasama dengan orang lain memainkan peranan utama, contohnya, sukan berpasukan/atlet atau persatuan pakaian seragam. Seperti contoh, kelab sains juga merupakan tempat yang sesuai untuk mempelajari tentang kerjasama, jika projek berasaskan kumpulan atau aktiviti/perkhidmatan sukarela dititikberatkan. Selain itu, memupuk rasa tanggungjawab dalam diri seorang pelajar atau mahasiswa juga adalah sangat mencabar. Salah satu cara untuk membina kemahiran ini ialah dengan mempraktikannya dengan cara memberinya tanggungjawab untuk dilaksanakan di sekolah atau universiti dan di rumah. Ramai majikan kini lazimnya memilih calon yang bukan sahaja mempunyai pencapaian yang baik, tetapi juga aktif di dalam aktiviti ko-kurikulum. Sebagai contoh, sekiranya anak anda gagal untuk menghantar kerja sekolah tepat pada waktunya, elak daripada memberi hukuman. Sebaliknya, minta penjelasan mengapa kerja tidak disiapkan dan tanyakan apakah tindakan yang dia akan ambil untuk mengatasi situasi yang sama di masa akan datang. Biarkan dia bertanggungjawab atas kelemahannya dan galakkan dia untuk berusaha mengendalikan masanya dengan lebih baik. Apabila anda mengajar kemahiran insaniah kepada pelajar kolej, salah satu kemahiran insaniah yang paling penting untuk dipertimbangkan ialah pemikiran kritis. Ramai pelajar mendapati sukar untuk menganalisis fakta, memerhati, membentuk pertimbangan mereka sendiri dan memberikan maklum balas, terutamanya apabila pihak berkuasa yang lebih tinggi terlibat. Akhir sekali, maklum balas adalah salah satu cara terbaik untuk mengajar pelajar atau remaja berfikir kritis. Terdapat begitu banyak faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum mereka menawarkan pendapat atau cadangan mereka dan ia juga akan memberi mereka peluang untuk berfikir dan membuat kesimpulan.

 

 

 

RUJUKAN

 

 

 

Alami Dropbox (n.d.).  Kemahiran Insaniah Di Tempat Kerja.  Diperolehi daripada

            https://experience.dropbox.com/ms-my/resources/what-are-soft-skills

 

Faizullah Mohamed.  (2014).  Penerangan kemahiran insaniah dalam konteks

            membina insan berkepimpinan di kalangan pelajar melalui aktiviti kokurikulum di universiti.                  Diperolehi daripada https://www.researchgate.net/publication/269405582_PENERAPAN_KEMAHIRAN_I            NSANIAH_DALAM_KONTEKS_MEMBINA_INSAN_BERKEPIMPINAN_DI_KALANG            AN_PELAJAR_MELALUI_AKTIVITI_KOKURIKULUM_DI_UNIVERSITI

 

FazHani Faz.  (2016).  Kemahiran insaniah meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa

            sebagai persedian menempuhi alam pekerjaan.  Diperolehi                                     daripada https://www.slideshare.net/fazhani/kemahiran-insaniah-meningkatkan-   kebolehpasaran-                    mahasiswa-sebagai-persediaan-menempuhi-alam-pekerja

 

Rusmini Ku Ahmad.  (2013).  Integrasi ICT dan Kemahiran Insaniah.  Diperolehi             daripada https://www.academia.edu/4801813/Integrasi_ICT_dan_Kemahiran_Insaniah

 

Dr. N.Thiyagar.  (2013).  Memupuk Kemahiran Insaniah Dalam Kalangan Remaja: jangan asyik             bekerja,luangkan masa untuk bermain.  Diperolehi             daripada https://mypositiveparenting.org/ms/2017/04/13/memupuk-kemahiran- insaniah-dalam-        kalangan-remaja-jangan-asyik-bekerja-luangkan-masa-untuk- bermain/

 

Pendidikan TVET.  (2022).  Semasa Menjalani Latihan Praktikal.  Malaysian Journal of     Social              Sciences and Humanities (MJSSH).  Elemen Kemahiran Insaniah Pelajar                        https://msocialsciences.com/index.php/mjssh/article/view/1659

 

Universiti Terengganu Malaysia.  Kemahiran Insaniah.  Diperolehi                 daripada https://utmcdex.utm.my/wp-content/uploads/2023/01/KEMAHIRAN-INSANIAH.pdf


Comments